"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara." .

Monday, December 6, 2010

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan

Posted by admin On 7:30 AM No comments


PELAN Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang akan dijadikan garis panduan pembangunan pendidikan negara secara menyeluruh bagi tempoh lima tahun untuk membangunkan sekolah kebangsaan (SK) sebagai aliran perdana tanpa meminggirkan sekolah aliran lain.

Bagi menghasilkan pendidikan berkualiti untuk semua, Kementerian Pelajaran (KPM) telah mengenalpasti dua pendekatan utama iaitu memastikan rakyat mendapat peluang pendidikan yang adil dan saksama sekali gus menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Pendekatan kedua pula ialah memberi perhatian khusus ke atas sekolah yang mencapai tahap cemerlang, bukan sahaja bagi memastikan ia mempertahankan kecemerlangan itu malah mampu meningkatkannya ke tahap yang lebih tinggi.

Sesuai dengan hasrat itu, KPM telah mengenalpasti enam teras strategik bagi memperkukuhkan pendidikan negara dalam tempoh lima tahun sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Teras pertama yang akan dilaksanakan adalah membina negara bangsa melalui pendidikan bertujuan melahirkan warganegara dari awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa.

Hasrat berkenaan akan dicapai dengan memperkasakan bahasa Melayu, meningkatkan disiplin pelajar, menggiatkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan menggiatkan aktiviti kokurikulum dalam sukan.

Pembangunan modal insan merupakan teras kedua di bawah PIPP yang akan memberi tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten dalam sains dan teknologi, inovatif, kreatif serta boleh dipasarkan.

Teras ketiga ialah memperkasakan sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) agar sekolah-sekolah itu menjadi pilihan rakyat.

Selaras dengan usaha itu, KPM akan melengkapkan SK dengan kemudahan pendidikan yang mencukupi, berkualiti, terkini dan guru terlatih mengikut opsyen serta bilangan staf sokongan mengikut keperluan.

Seterusnya, sebagai teras keempat, KPM akan berusaha merapatkan

jurang pendidikan dengan membangunkan infrastruktur dan kemudahan khususnya diluar bandar seperti Sabah dan Sarawak.

Di bawah teras keempat itu juga, KPM akan memperbanyakkan bantuan kepada pelajar miskin, keperluan khas, kumpulan minoriti, mengurangkan jurang digital serta menempatkan guru terlatih.

Teras kelima ialah memartabatkan profesion keguruan bagi memastikan profesion itu dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam pembinaan generasi masa depan.

Sebahagian daripada usaha itu ialah menaik taraf maktab perguruan kepada institut pendidikan guru bagi meningkatkan kelayakan guru ke peringkat ijazah.

Manakala teras terakhir di bawah PIPP ialah melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dengan membentuk bahagian kecemerlangan sekolah berasaskan akademik, kokurikulum dan sukan atau bidang-bidang khusus yang lain.

Sekolah yang terpilih akan dirangkaikan dengan institusi ternama tempatan dan luar negara dengan menawarkan pelbagai peperiksaan peringkat antarabangsa seperti International Baccalaureate serta dijadikan sekolah contoh.

PIPP yang dirangka KPM turut mengambil kira jurang dan cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan Wawasan 2020 dapat dicapai.

Selaras dengan itu, KPM berhasrat membangunkan modal insan dengan ciri masyarakat bangsa Malaysia, memastikan akses, ekuiti dan kualiti tunjang agenda pendidikan diteruskan serta merintis dan menerajui perubahan bagi melonjak sistem dan institusi pendidikan ke tahap dunia.

0 comments:

Post a Comment

Pemberitahuan

Pekeliling

EDUWEBTV

Galeri SKDK

HAC 2012